Masjid AS terbakar, ini tindakan mengejutkan daripada pihak gereja dan orang bukan islam

loading...

Pada 28 Januari lalu Pusat Islam Victoria di Texas, AS yang turut menempatkan sebuah masjid musnah terbakar.Pentadbiran pusat Islam itu menyasarkan sumbangan AS$850,000 untuk membina semula bangunan berkenaan.
Hari ini, melalui kutipan atas talian, jumlah yang terkumpul sudah melebihi AS$1 juta.Pakar bedah yang menjadi pengerusi masjid itu, Dr Shahid Hashmi, berkata bantuan dan derma datang daripada pelbagai pihak termasuk penduduk setempat yang bukan beragama Islam.

Katanya, wang berkenaan akan digunakan untuk membina dewan solat dan pusat komuniti seluas 4,000 kaki persegi.Bangunan itu adalah satu-satunya pusat Islam yang ada di Victoria yang didiami kira-kira 40 keluarga Muslim.

Ditemui The New York Times semasa beliau berehat selepas melakukan pembedahan, Dr Shahid berkata, masjid itu musnah sama sekali.

Namun penduduk setempat tampil beramai-ramai menghulurkan bantuan. Antara pihak yang bermurah hati adalah empat gereja dan sebuah rumah ibadat bukan Islam.

Penduduk setempat juga hadir membantu membersihkan runtuhan Pusat Islam Victoria itu.

Kata Dr Shahid, bagi penduduk yang mahir bertukang, mereka melakukan kerja-kerja bantuan awal yang sepatutnya, manakala yang lain meminjamkan lori atau menjahit sejadah baru.

"Komuniti Yahudi datang ke rumah saya dan memberikan kunci rumah ibadah mereka.

"Pemimpin gereja di sini juga datang dan mendoakan kesejahteraan kami, sambil memberi wang tunai serta cek," katanya.

Setakat ini belum dapat dipastikan punca kebakaran sebelum subuh Sabtu (waktu tempatan) lalu itu dan siasatan masih berlangsung.

Ketua Bomba Victoria, Taner Drake, berkata siasatan turut melibatkan Biro Alkohol, Tembakau, Senjata dan Bahan Letupan namun kepastian belum diperolehi.

Memetik kenyataan Drake, The Victoria Advocate melaporkan proses berkenaan biasanya mengambil masa beberapa hari, malah mungkin berbulan-bulan.

Kata Dr Shahid untuk sementara umat Islam setempat terpaksa bersolat di kawasan terbuka.

Sebuah bangunan yang belum siap dibina di kawasan berhampiran kini dijadikan klinik sementara bagi membantu penduduk yang memerlukan.

Menurut Dr Shahid masjdi itu dipecah masuk kira-kira seminggu lalu dan seorang pemuda ditahan serta meminta maaf. Dia kemudian 'dihukum' dengan melakukan kerja amal.

The Victoria Advocate pernah melaporkan, pada 2013 seseorang menceroboh bangunan itu dan menulis "H8" - bermaksud "hate" (benci) pada dindingnya.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Donald Trump menguatkuasakan larangan kemasukan pendatang dari tujuh negara Islam - Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman - ke AS selama 120 hari.

Perintah itu bagaimanapun dikecam pelbagai pihak, termasuk seorang peguam negara yang kemudian dipecat Trump semalam.
loading...